Kematian pelajar tahfiz: Jabatan Peguam Negara tunggu hasil siasatan semula

8 Dis 2025, 12:15 PM
Kematian pelajar tahfiz: Jabatan Peguam Negara tunggu hasil siasatan semula

SHAH ALAM, 8 DIS: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum menerima hasil siasatan semula kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada 2013.

Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata, sekiranya sudah lengkap, jabatan itu akan meneliti hasil siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau lain-lain berhubung kematian pelajar tingkatan empat itu, lapor Harian Metro.

“Kita akan mohon hasil siasatan dikemukakan pihak polis jika semuanya sudah disiapkan atau dilengkapkan.

“Namun arahan siasatan lanjut sentiasa diberikan dari semasa ke semasa bagi melengkapkan siasatan kes.

"Hasil siasatan daripada PDRM itu nanti akan diteliti Jabatan Peguam Negara sama ada kejadian yang menimpa Allahyarham Wan Ahmad Faris mempunyai elemen kes jenayah dan sebagainya,",” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis sudah merekodkan keterangan 68 saksi sebagai sebahagian daripada siasatan yang dibuka semula berhubung kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, siasatan semula itu dilancarkan bagi memastikan ketelusan sepenuhnya, pematuhan kepada prosedur operasi standard untuk menangani kebimbangan keluarga mangsa dan orang awam.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris, pelajar tingkatan empat, ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan.

Mayatnya dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas mengesan bau busuk dari tandas berkenaan. Pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris disebabkan tindakan individu yang tidak dikenal pasti.

Susulan keputusan mahkamah, keluarga mangsa mengambil pelbagai langkah untuk menuntut keadilan, termasuk menghantar rayuan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), polis dan Pejabat Perdana Menteri.