Semakan pengambilan PLKN 3.0 Siri 1/2026 dibuka mulai hari ini

8 Dis 2025, 10:16 AM
Semakan pengambilan PLKN 3.0 Siri 1/2026 dibuka mulai hari ini

SHAH ALAM, 8 DIS: Semakan pengambilan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1 Tahun 2026 kini dibuka mulai jam 4 petang hari ini, umum Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Dalam kenyataan, JLKN memaklumkan semakan pelatih yang lahir pada tahun 2008 boleh dibuat melalui portal ePLKN 3.0 di pautan https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form

Bakal pelatih yang terpilih perlu mengesahkan kehadiran melalui sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 25 Disember 2025.

Kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah dianggap ingkar arahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara.

“Bagi memastikan kelancaran pendaftaran, bakal pelatih diminta sentiasa mengikuti pengumuman rasmi JLKN dari masa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

PLKN 3.0 Siri 1 Tahun 2026 berlangsung dari 17 Januari hingga 3 Mac 2026, melibatkan dua kem Askar Wataniah iaitu Rejimen 515 (AW) di Kuala Lumpur dan Rejimen 505 (AW) di Pekan, Pahang. Sebanyak empat siri latihan akan dijalankan sepanjang tahun hadapan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Unit Pelatih, Sektor Latihan JLKN menerusi talian 03-4013 (sambungan 3612/3613/3614/3604/3603/3626) atau laman sesawang rasmi jabatan berkenaan.