Karnival Hari OKU Selangor 20 Disember, orang ramai dijemput hadir

8 Dis 2025, 12:59 PM
Karnival Hari OKU Selangor 20 Disember, orang ramai dijemput hadir

RAWANG, 8 DIS: Orang ramai dialu-alukan memeriahkan Karnival Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat Selangor yang akan berlangsung pada 20 Disember ini.

Program anjuran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) itu akan diadakan di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selayang dari jam 8 pagi hingga 2 petang, kata EXCO Kebajikan Anfaal Saari.

Menurutnya, karnival berkenaan bertujuan meraikan dan mengiktiraf sumbangan komuniti OKU di negeri ini, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak serta keperluan golongan tersebut.

“Ia juga menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan.

“Kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak OKU untuk membawa mereka menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Antara pengisian menarik ialah Kita OKU Fun Walk sejauh 3 kilometer, Seminar Ibu Bapa–Sokongan Emosi Menguruskan Anak Istimewa, saringan awal kanak-kanak serta penyerahan bantuan khas Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Turut diadakan pertandingan nyanyian solo kanak-kanak OKU, pertandingan kad kreatif 3D bertemakan Sambutan Hari OKU Selangor, selain pameran pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan berkaitan OKU.