32 rakyat Malaysia terkandas di sempadan Myanmar-Thailand selamat dibawa masuk ke Thailand

8 Dis 2025, 7:31 AM
32 rakyat Malaysia terkandas di sempadan Myanmar-Thailand selamat dibawa masuk ke Thailand

SHAH ALAM, 8 DIS: Seramai 32 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan terkandas di sempadan Myanmar-Thailand selamat dibawa masuk ke Thailand oleh pasukan Tentera Diraja Thailand.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan itu dimaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Menurutnya, semua mangsa membabitkan 31 lelaki dan seorang wanita itu menerima bantuan selepas Kedutaan Besar Malaysia di Thailand memohon bantuan kemanusiaan daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

“Kini, mereka dibawa ke Friendship Bridge ke-2 di Mae Sot untuk proses tapisan dan persediaan membawa keluar dari Thailand ke Malaysia.

“Pegawai kedutaan sedang menuju ke Mae Sot dengan dua bas yang akan membawa mereka terus ke Danok serta Bukit Kayu Hitam esok.

“Selain itu, seramai 21 lagi rakyat Malaysia yang berada di bawah pengawasan Kerajaan Myanmar turut dirancang dibawa ke Danok dan seterusnya ke Malaysia esok dalam operasi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 33 rakyat Malaysia, termasuk 12 yang berjaya meloloskan diri dari sebuah pusat sindiket penipuan di Sunda, Myanmar, terkandas di tebing Sungai Moei berhampiran sempadan Mae Sot, Thailand, sejak November lalu.

Mereka dilaporkan diusir susulan tercetus pertempuran antara kumpulan bersenjata di kawasan terbabit, dan terpaksa melarikan diri ke tepi sungai tanpa perlindungan, makanan dan ubat-ubatan.

Cubaan mereka untuk berenang masuk ke Thailand dikatakan beberapa kali dihalang tentera Thailand yang didakwa melepaskan tembakan amaran dan mengarahkan mangsa kembali ke tebing sungai.

Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) dilaporkan menghantar surat rasmi kepada Kedutaan Besar Malaysia di Thailand untuk memohon tindakan segera bagi menyelamatkan 12 mangsa yang meminta bantuan secara rasmi.