SHAH ALAM, 8 DIS: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Kuala Selangor dan Gombak bagi menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim berkata Sekolah Rendah Agama Pasangan, Kuala Selangor menempatkan 38 mangsa banjir manakala 51 mangsa tanah runtuh ditempatkan di Dewan Komuniti Orang Asli, Gombak.
“Setakat ini, mangsa banjir di Kuala Selangor masih di PPS berikutan air masih bertakung. Jabatan Pengairan dan Saliran sedang berusaha untuk mengepam keluar air supaya penduduk boleh pulang ke kediaman masing-masing.
“Bagi PPS menempatkan mangsa tanah runtuh yang dibuka sejak Rabu lalu, mereka dijangka perlu menetap sekitar dua minggu sementara kerja pemantauan dilaksana pejabat daerah Gombak,” katanya kepada Media Selangor hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bantuan dan keperluan termasuk makanan dan kelengkapan mangsa-mangsa ditempatkan di PPS mencukupi dan tiada masalah.
“Bagi bantuan banjir diumumkan baru-baru ini difahamkan semuanya di bawah pejabat daerah dan sedang dalam penyediaan dokumen sebelum disalurkan kepada mangsa,” katanya.
Dua minggu lalu, hujan lebat beberapa hari mengakibatkan beberapa daerah di negeri ini dinaiki air iaitu Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Berikutan itu, hampir 3,000 mangsa terpaksa menumpang berteduh di PPS yang mana Kuala Selangor mencatatkan mangsa tertinggi.


