Mangsa banjir di Selangor terus menurun, hanya 2 PPS masih dibuka

7 Dis 2025, 1:42 AM
Mangsa banjir di Selangor terus menurun, hanya 2 PPS masih dibuka

SHAH ALAM, 7 DIS: Jumlah mangsa banjir di Selangor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menunjukkan penurunan kepada 91 mangsa setakat jam 9.30 pagi ini.

Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa melibatkan 22 keluarga itu ditempatkan di dua PPS di dua daerah.

Dua PPS itu ialah Dewan Serbaguna Komuniti Orang Asli Gombak yang menempatkan 51 mangsa dan Sekolah Rendah Agama Pasangan, Kuala Selangor dengan 40 mangsa.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri di Semenanjung termasuk Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang) dan Sarawak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi MetMalaysia.

Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.