Piala Dunia Hoki Remaja: Malaysia atasi Switzerland 7-3

6 Dis 2025, 2:43 PM
Piala Dunia Hoki Remaja: Malaysia atasi Switzerland 7-3
Piala Dunia Hoki Remaja: Malaysia atasi Switzerland 7-3

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Skuad remaja lelaki negara menewaskan Switzerland 7-3 dalam aksi penentuan tempat ke-13 hingga ke-16 Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki di Chennai, India, hari ini.

Malaysia memulakan perlawanan dengan tempo tinggi apabila meraih dua jaringan awal menerusi pukulan sudut penalti, masing-masing disempurnakan Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee pada minit kelima dan Muhammad Handzalah Abdul Hadi seminit selepas itu.

Switzerland bagaimanapun merapatkan jurang hasil jaringan Jens Fluck pada minit ke-13, namun skuad negara kembali mengukuhkan kedudukan apabila Muhammad Harris Iskandar Osman menyempurnakan penalti strok pada minit ke-19 sebelum Rahul Fazrien Muhammad meledak gol padang dua minit kemudian untuk memastikan Malaysia selesa mendahului 4-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Switzerland cuba bangkit menerusi jaringan padang Leonard Kraxner pada minit ke-32, namun Malaysia terus menjarakkan kedudukan apabila Azimuddin Syakir Kamaruddin menyumbat gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-37.

Malaysia kemudian memastikan kemenangan selesa dengan dua lagi jaringan padang, masing-masing melalui Muhammad Aqil Danial (minit ke-43) dan Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar (minit ke-46), sebelum Switzerland mengutip satu gol pada penghujung perlawanan menerusi pukulan sudut penalti kedua Jens Fluck.

Skuad negara bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan menentang Jepun pada penentuan tempat ke-13, Selasa ini. Terdahulu, Jepun menewaskan Chile 3-1.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.