SHAH ALAM, 6 DIS: Tindakan nekad seorang wanita warga emas yang buta merangkak keluar dari rumahnya untuk mendapatkan bantuan membawa kepada penemuan mayat anak perempuannya yang dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu di Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan.
Jariyah Suut, 69, dilapor merangkak dalam keadaan amat lemah sejauh kira-kira 150 meter melalui laluan denai dalam belukar sebelum ditemui orang awam di tepi jalan utama sekitar jam 6.30 pagi semalam.
Wanita itu terpaksa mencari pertolongan selepas menyedari mayat anaknya yang berusia 48 tahun sudah mereput dan mengeluarkan bau busuk di kediaman mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, mangsa sebelum itu mengadu sakit dada dan sesak nafas pada 30 November lalu.
“Wanita yang buta sepenuhnya itu menyedari anaknya telah meninggal dunia namun tidak berupaya berbuat apa-apa selain berharap ada bantuan tiba, namun tiada sesiapa yang datang ke rumah.
“Bagaimanapun, bau busuk yang semakin kuat pada 4 Disember menyebabkan si ibu tidak lagi mampu bertahan, lalu mengumpulkan seluruh tenaga untuk merangkak keluar dari rumah mereka dengan berpandukan sentuhan di sepanjang laluan denai sempit sejauh kira-kira 150 meter,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Pasukan polis dan unit forensik yang tiba di lokasi kemudian menemukan mayat wanita berkenaan, dipercayai meninggal dunia lebih lima hari.
“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian sebagai serangan jantung akibat tiga saluran jantung tersumbat sepenuhnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan warga emas terbabit akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan bagi memastikan kebajikannya terjamin.
Katanya, pemeriksaan fizikal dan mental turut akan dilakukan untuk menilai tahap kesihatan wanita berkenaan.
“Tindakan telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih elok ditempatkan di rumah tersebut sebab kini dia keseorangan selepas kematian anak yang menjaganya,” katanya ketika ditemui pada Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 di Kuching.


