Konvensyen Dunia al-Quran jadi platform penyatuan ummah, ruang pertukaran ilmu

6 Dis 2025, 7:39 AM
Konvensyen Dunia al-Quran jadi platform penyatuan ummah, ruang pertukaran ilmu
Konvensyen Dunia al-Quran jadi platform penyatuan ummah, ruang pertukaran ilmu
Konvensyen Dunia al-Quran jadi platform penyatuan ummah, ruang pertukaran ilmu
Konvensyen Dunia al-Quran jadi platform penyatuan ummah, ruang pertukaran ilmu

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Konvensyen Dunia al-Quran 2025 yang berlangsung hari ini dan esok di Dewan Perdana Menara MITI bukan sahaja menghimpunkan delegasi antarabangsa, malah menjadi platform penyatuan ummah melalui ilmu, tadabbur dan kefahaman kitab suci berkenaan.

Guru Dzul Iman Quranic Life Naufal Ashroff berkata penganjuran tersebut membuka ruang peserta memahami lapisan makna al-Quran secara lebih mendalam melalui perkongsian ilmu yang disampaikan panel jemputan.

Guru Dzul Iman Quranic Life Naufal Ashroff

“Saya mendapat pencerahan baharu mengenai tadabbur. Perbincangan panel membantu saya melihat lapisan makna yang sebelum ini tidak disedari. Nilai ilmu ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian dan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang turut menguatkan mesej kesatuan ummah melalui perkongsian ilmu.

Konvensyen edisi kelima anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation mengetengahkan tema Surah al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges, menghimpunkan tokoh ekonomi global, ulama dan aktivis masyarakat.

Pengasas Bayyinah Institute Nouman Ali Khanberucap ketika Konvensyen Quran Sedunia 2025 di Dewan Perdana Menara MITI, Kuala Lumpur pada 6 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Penyertaan delegasi dari 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Iran, Brunei dan Indonesia membolehkan perbincangan mengenai penerapan nilai al-Quran dalam ekonomi kontemporari antaranya etika perniagaan, pelaburan lestari, pembangunan komuniti dan tanggungjawab sosial.

Program itu turut menyediakan ruang jaringan antarabangsa yang berpotensi mempengaruhi dasar serta menggerakkan inisiatif sosial dan ekonomi berasaskan nilai moral dan spiritual.

Ketua Pegawai Eksekutif Karya Bestari Firdaus Hussamudin

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Karya Bestari Firdaus Hussamudin menjelaskan konvensyen tersebut mengumpulkan pembaca al-Quran yang bukan sahaja membaca tetapi memahami dan mentadabbur 30 juzuk.

“Karya Bestari bersama Warisan Ummah Ikhlas menjayakan konvensyen ini sebagai ruang berkongsi ilmu dan perjalanan tadabbur. Tahun ini lebih istimewa dengan penyertaan sekolah antarabangsa, pemimpin korporat dan agensi kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pertemuan peserta dari luar negara membuka peluang mempelajari amalan terbaik dalam pentadbiran, kepimpinan dan pengurusan berasaskan nilai al-Quran.

Yang Dipertua UiTM Cawangan Selangor Raif Hanafi

Yang Dipertua UiTM Cawangan Selangor Raif Hanafi pula menyifatkan konvensyen itu sebagai platform pembelajaran bernilai tinggi kepada mahasiswa.

“Pelajar dapat berinteraksi dengan panel dalam dan luar negara.

”Pendedahan seperti ini membantu membentuk graduan lebih bersedia dalam bidang pentadbiran, akademik, perniagaan dan ekonomi,” katanya sambil mencadangkan program seumpama itu diperluas ke peringkat universiti.