SHAH ALAM, 6 DIS: Situasi banjir di Selangor terus bertambah baik apabila jumlah mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun secara konsisten sejak pagi tadi, menandakan keadaan cuaca dan paras air semakin pulih.
Menurut data terkini InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya 114 mangsa daripada 45 keluarga masih berlindung di tiga PPS di Kuala Selangor setakat 5 petang tadi.
Angka itu menunjukkan penurunan mendadak berbanding 269 mangsa daripada 90 keluarga yang direkodkan jam 9 pagi di tiga daerah Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam sekali gus memberi petanda positif bahawa operasi pemindahan dan pemantauan berjalan lancar.
Selain Selangor, beberapa negeri lain turut berdepan situasi sama. Perak mencatat jumlah tertinggi dengan 1,277 mangsa, diikuti Sabah (186), Kelantan (52), Pahang (31), Sarawak (43) dan Perlis (10).
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada, terutama penduduk di kawasan rendah serta berhampiran sungai selain mengikuti maklumat sahih dan terkini daripada saluran rasmi seperti InfoBencana JKM dan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mengelakkan risiko keselamatan.



