Dari B40 ke kerjaya bernilai tinggi, TVET buka jalan baharu

6 Dis 2025, 1:00 AM
Dari B40 ke kerjaya bernilai tinggi, TVET buka jalan baharu
Dari B40 ke kerjaya bernilai tinggi, TVET buka jalan baharu
Dari B40 ke kerjaya bernilai tinggi, TVET buka jalan baharu
Dari B40 ke kerjaya bernilai tinggi, TVET buka jalan baharu
Dari B40 ke kerjaya bernilai tinggi, TVET buka jalan baharu

SHAH ALAM, 6 DIS: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan kemahiran membuka harapan baharu kepada pelajar yang pernah terhenti dalam arus akademik.

Menerusinya, mereka diberikan ruang untuk meneroka bakat terpendam dan menyerlah melalui pendekatan berbeza, namun tetap signifikan dalam membina masa depan.

Tanggapan kemahiran untuk pelajar kurang cemerlang tidak lagi relevan. TVET terus membuktikan keupayaannya melahirkan pelajar berpengetahuan dan diterima syarikat ternama.

Pengarah Kolej Komuniti Selayang Ahmad Rizal Omar

Malah, sebahagian pelajarnya kini meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit, bukti jelas laluan kemahiran juga mampu membantu individu mencapai kecemerlangan.

Ia bukan lagi retorik. Statistik menunjukkan 95 peratus penuntut Kolej Komuniti Selayang (KKSY) menempatkan diri dalam industri berkaitan, mengukuhkan reputasi TVET kerjaya bernilai tinggi.

“Kita menetapkan selepas enam bulan mereka akan mendapat pekerjaan dalam bidang tertentu dan ada pelajar yang meminati perniagaan membuka perniagaan sendiri,” kata Pengarahnya Ahmad Rizal Omar.

Program bawah KKSY merangkumi automotif dan mekanikal, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan multimedia, hospitaliti dan pelancongan serta keusahawanan dan perniagaan.

TVET turut membuka ruang lebih besar kepada golongan kurang mampu. Bagi mereka, ia salah satu platform untuk bebas daripada belenggu kemiskinan melalui kemahiran diperlukan pasaran.

Pensyarah sedang memberi panduan kepada pelajar Kolej Komuniti Selayang bagi menghasilkan persembahan slaid dalam bidang rekabentuk dalaman ketika laporan khas TVET di Kolej Komunii Selayang pada 14 November 2025.Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR

Menurut Ahmad Rizal, sebahagian besar pelajar KKSY datang daripada latar belakang tersebut.

“KKSY mempunyai 635 pelajar sepenuh masa. Seramai 404 orang daripada jumlah itu bawah kategori berpendapatan rendah, membabitkan 336 Melayu, 23 India, tiga Cina dan dua orang Asli,” katanya.

Menurutnya, TVET dapat memacu negara ke arah status maju melalui pembentukan modal insan berkemahiran tinggi, diterajui program yang responsif, fleksibel dan inklusif.

“Matlamat utama TVET menjelang 2030 adalah memperkukuh kualiti latihan kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menjadikannya pilihan utama pendidikan negara,” katanya lagi.

Beliau menambah TVET bukan lagi laluan alternatif, tetapi pilihan pendidikan yang mampu menjamin masa depan lebih cerah dengan kerjaya stabil dan potensi keusahawanan.