SHAH ALAM, 6 DIS: Isteri mempunyai hak untuk memfailkan perceraian sekiranya suami terlibat dalam perbuatan tidak bermoral, termasuk kes serbuan pusat spa dan kesihatan di ibu negara baru-baru ini yang dipercayai menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul.
Peguam Syarie, Liyana Sihar berkata daripada sudut hukum syarak dan peruntukan undang-undang, isteri boleh memohon cerai atas faktor yang dibenarkan syarak, bergantung kepada keadaan dan bukti.
“Dalam Seksyen Fasakh turut dinyatakan bahawa antara alasan yang membolehkan tuntutan fasakh ialah apabila suami atau isteri berkelakuan tidak baik dan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Melihat kepada konteks tangkapan berkenaan, unsur perlakuan luar tabii atau sesama jenis boleh menjadi asas tuntutan,” katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun, jelasnya, bagi isteri yang mahu menjaga aib pasangan, mereka boleh memilih untuk memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, yang tidak memerlukan pendedahan terperinci di mahkamah.
Liyana menambah, bagi mereka yang memilih untuk kekal dalam perkahwinan, pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana wujud risiko penyakit kelamin selain memerlukan jaminan bahawa suami benar-benar telah bertaubat.
Beliau turut menekankan bahawa terdapat pelbagai agensi yang menawarkan bimbingan, kaunseling, serta bantuan pemulihan kepada pasangan untuk membantu mengurus konflik rumah tangga secara menyeluruh.
Sebelum ini, media melaporkan kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur, yang dipercayai menjadi lokasi lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral, terbongkar dalam serbuan pada 28 November lalu.
Hasil serbuan itu membawa kepada penahanan 201 individu, termasuk 171 lelaki tempatan berusia 19 hingga 60 tahun, dalam operasi bersama Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) IPK Kuala Lumpur, DBKL dan JAWI.


