Ikan mati di kolam, LUAS jalankan pembersihan dan siasatan segera

5 Dis 2025, 10:10 AM
Ikan mati di kolam, LUAS jalankan pembersihan dan siasatan segera
Ikan mati di kolam, LUAS jalankan pembersihan dan siasatan segera
Ikan mati di kolam, LUAS jalankan pembersihan dan siasatan segera
Ikan mati di kolam, LUAS jalankan pembersihan dan siasatan segera

SHAH ALAM, 5 DIS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil tindakan segera susulan laporan pencemaran melibatkan kejadian ikan mati dalam kuantiti banyak dan bau busuk di Kolam D’Island, Putra Perdana, Puchong sejak Isnin lalu.

Agensi itu memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada 1 Disember, sebelum menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian

Menurut LUAS, pemeriksaan di lokasi menemui sejumlah besar bangkai ikan tilapia di permukaan kolam sehingga menimbulkan bau tidak menyenangkan.

“Bagaimanapun, pensampelan kualiti air in-situ yang dilakukan di kolam dan pada setiap laluan masuk (inlet) menunjukkan bacaan oksigen terlarut (DO) pada paras baik iaitu 15mg/L. Laporan awal juga mendapati kematian ikan bukan berpunca daripada kualiti air.

“Susulan itu, sampel air dihantar ke makmal LUAS bagi analisis lanjut bagi menentukan punca sebenar,” maklumnya menerusi kenyataan.

LUAS turut mengesyaki bangkai ikan datang dari sangkar ternakan tilapia yang tidak diketahui pemiliknya dan ditempatkan dalam kolam berkenaan.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Selangor berhubung perkara tersebut.

“Kerja pembersihan bangkai ikan diselaraskan LUAS dan dihantar untuk pelupusan di tapak Tanjung Dua Belas, Kuala Langat. Operasi pembersihan yang bermula Rabu lalu menggunakan jentera berat berikutan jumlah bangkai yang banyak. Setakat ini, kerja pembersihan mencapai 40 peratus dan dijangka selesai hujung minggu ini.

“Kerajaan Negeri dan LUAS merakamkan penghargaan kepada pihak berkaitan serta orang ramai atas keprihatinan terhadap kelestarian sumber air. Maklumat mengenai sebarang aktiviti yang berpotensi mencemarkan alam sekitar boleh disalur kepada LUAS, JPS, JAS, PBT atau pejabat daerah bagi tindakan segera,” maklumnya.