PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memberikan kuasa prerogatif kepada Perdana Menteri untuk melantik anggota kelima daripada Hakim Mahkamah Persekutuan tanpa perlu merujuk suruhanjaya itu.
Wan Ahmad Farid berkata, keputusan Perdana Menteri untuk melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, sebagai anggota JAC adalah dalam bidang budi bicaranya dan tidak boleh dicabar, lapor Berita Harian.
Menurut Wan Ahmad Farid, tiada siapa termasuk beliau yang boleh mempersoalkan keputusan itu kerana ia adalah kuasa Perdana Menteri.
"Jadi kami menerima menerimanya sebagaimana adanya. Jadi, beliau (Terrirudin) kini adalah seorang daripada sembilan anggota JAC. Beliau menghadiri mesyuarat terakhir, dan kami perlu teruskan.
"Saya tidak boleh ulas lanjut kerana ia (pelantikan) mengikut undang-undang. Saya tidak rasa ia masalah setakat ini," katanya.
Wan Ahmad Farid berkata demikian kepada media pada 'Majlis Temubual dengan Ketua Hakim Negara sempena 100 Hari Pelantikan' di Pejabat Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, hari ini.
Ahmad Terrirudin yang juga bekas Peguam Negara dilantik sebagai anggota JAC untuk tempoh dua tahun oleh Perdana Menteri menurut perenggan 5(1)(e) Akta JAC berkuatkuasa mulai 15 November 2025 hingga 14 November 2027.
Beliau mengisi kekosongan keanggotaan JAC selepas Hakim, Datuk Zabariah Mohd Yusof bersara wajib pada usia 66 tahun (selepas lanjutan masa perkhidmatan selama enam bulan), bulan lalu.
Majlis Peguam sebelum ini menuntut kerajaan bersikap telus di sebalik pelantikan Ahmad Terrirudin ke dalam JAC.
Presidennya, Ezri Abdul Wahab, menyatakan kebimbangan dengan pelantikan Ahmad Terrirudin dan menyifatkan kurangnya ketelusan dalam proses itu sebagai 'membimbangkan'.
Beliau berkata, secara konvensyen, ahli paling kanan dalam Mahkamah Persekutuan dilantik ke dalam JAC, sedangkan Ahmad Terrirudin hanya dinaikkan ke mahkamah tertinggi itu pada November tahun lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan itu yang dikatakan dilanda kontroversi, Wan Ahmad Farid percaya hakim dinilai berdasarkan prestasinya.
Katanya, prestasi terbabit dilihat berdasarkan kepada penghakiman bertulis seseorang hakim itu dan juga perilakunya ketika mengendalikan kes.
"Apa yang terbaik bagi masyarakat awam ialah menerima berdasarkan kepada prestasi (seseorang hakim), " katanya.
Disoal lanjut sama ada beliau akan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan terhadap Ahmad Terrirudin, Wan Ahmad Farid berkata, tiada aduan dibuat setakat ini.
Katanya, apa saja dakwaan (terhadap Terrirudin) sebelum ini bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai hakim.
"Macam mana tribunal hendak buat siasatan mengenai beliau sedangkan aduan bukan di atas kapasiti dia sebagai hakim?," katanya.
Mengikut Akta JAC, terdapat empat ahli kekal iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, dan anggota kelima daripada kalangan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Keanggotaan JAC terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh diikuti Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.
Anggota lain terdiri daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr Hartini Saripan.


