SHAH ALAM, 5 DIS: Dato’ Menteri Besar menyifatkan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin satu kehilangan besar buat negara.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Allahyarham banyak menyumbang dalam arena politik negara malahan perwatakan serta gelagatnya pasti dirindui oleh semua.
“Salam takziah kepada keluarga dan rakan-rakan, Allahyarhan sumbang terlalu lama dalam Parlimen Malaysia dengan mewarnai sebahagian daripada dunia politik dan kepimpinan dalam negara.
“Jadi, sudah pasti ianya satu kehilangan besar buat negara. Pasti akan ada yang merindui gelagat, perwatakan dan penampilan beliau yang selama ini mewarnai serta melengkapkan peta kepimpinan yang ada di Malaysia,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru-baru ini Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.
Dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh anak.


