Selangor perkasa pendidikan Islam minoriti Cham di Kemboja

5 Dis 2025, 12:00 AM
Selangor perkasa pendidikan Islam minoriti Cham di Kemboja

SHAH ALAM, 5 DIS: Usaha Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membangunkan sistem sekolah agama di Kemboja sejak 2013 menjadi pemangkin perubahan besar kepada masyarakat minoriti Cham yang sebelum ini berdepan kemiskinan pendidikan dan kekangan guru.

Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Jais, Muhammad Asmadi Mustaqim berkata pihaknya mendapati guru di Kemboja ketika itu mengajar secara sukarela tanpa gaji tetap, selain terpaksa bekerja sebagai petani pada sebelah pagi untuk menyara keluarga.

“Paginya mereka menjadi petani, uruskan sawah padi dan kebun getah. Petang baru mereka datang mengajar. Mereka tidak pernah dilatih dan tidak ada pendapatan daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui di pejabat Jais di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan sesi pengajaran tidak teratur kerana tiada kurikulum, buku teks atau kaedah pembelajaran yang seragam untuk murid.

Jais kemudian memperkenalkan semula asas 'disiplin sekolah' dengan membangunkan kurikulum rasmi, menerbitkan buku teks, melatih guru dan mewujudkan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) bagi menilai pencapaian murid.

Perubahan tersebut mula menarik minat keluarga Cham apabila melihat anak mereka menunjukkan disiplin baharu serta tingkah laku positif hasil sistem pembelajaran tersusun.

“Sebelum kami masuk, apa yang diajar bergantung kepada inisiatif guru. Hari ini ajar tauhid, esok mengaji. Tetapi selepas ada buku teks, latihan dan pentaksiran, perubahan remaja itu jelas,” katanya.

Menurut Asmadi, Jais turut menterjemah tujuh buku agama ke Bahasa Cham bagi memastikan warisan bahasa dan tulisan masyarakat itu tidak lenyap akibat dominasi bahasa Khmer.

Langkah tersebut bukan sahaja mengangkat identiti Cham, malah membantu murid memahami ajaran agama melalui bahasa ibunda mereka.

“Kalau tulisan Cham ini tidak diperkasakan, ia akan hilang. Sama seperti kebimbangan kita terhadap tulisan Jawi satu ketika dulu,” katanya.

Hari ini, lebih 3,000 murid mengikuti sistem pendidikan agama berstruktur tersebut dengan kira-kira 600 calon menduduki PSAR setiap tahun.

Kejayaan Jais ini mendapat pengiktirafan Kerajaan Kemboja dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).