Beberapa kawasan di Dusun Tua dilanda banjir, dua PPS dibuka

4 Dis 2025, 4:57 AM
Beberapa kawasan di Dusun Tua dilanda banjir, dua PPS dibuka

SHAH ALAM, 4 DIS: Beberapa kawasan di Dusun Tua dilanda banjir besar sejak awal pagi tadi apabila paras air meningkat dengan cepat, sekali gus menjejaskan banyak kediaman serta jalan utama keluar masuk di Hulu Langat.

Wakil rakyat Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, pihaknya sedang menyalurkan bantuan awal kepada mangsa terjejas.

“Bantuan segera seperti bekalan makanan sedang dihantar kepada mangsa serta petugas yang menjalankan operasi di kawasan banjir.

“Kami sedang menggerakkan bantuan secepat mungkin dan akan terus memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mendoakan agar urusan semua pihak yang terkesan dipermudahkan dan mereka dilindungi sepanjang menghadapi bencana ini.

Terdahulu, seramai 20 mangsa banjir di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor selepas air naik sedalam satu kaki dalam kejadian pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.

Menurutnya, operasi diketuai seorang pegawai bersama tujuh anggota dengan menggunakan jentera LFRT, FRV dan sebuah lori Hicom.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Hulu Langat hari ini, masing-masing di Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding dan di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai bagi menempatkan mangsa banjir susulan keadaan air yang meningkat di beberapa kawasan.