SHAH ALAM, 4 DIS: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 – Pakej 1 bernilai RM512 juta, bagi menangani banjir berulang di Hulu Langat, kini berada pada peringkat reka bentuk terperinci sebelum dilaksanakan.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek itu akan dilaksanakan secara konvensional sebaik proses reka bentuk dan perolehan diselesaikan.
Menurut beliau, projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu merangkumi pembinaan ban banjir, pintu kawalan air, sistem pam, kolam takungan banjir, jambatan serta kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Langat.
"Langkah jangka panjang ini memberi tumpuan kepada pengurangan risiko limpahan Sungai Langat yang sering menyebabkan banjir kilat di kawasan seperti Kampung Batu 14, Sungai Serai, Pekan Kajang dan penempatan sekitar," katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Fadillah berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang ingin mengetahui tindakan tambahan kementerian bagi memastikan masalah banjir di Hulu Langat dapat diatasi.
Selain projek mega tersebut, Fadillah memaklumkan, PETRA turut melaksanakan beberapa langkah segera menerusi Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir.
Katanya, sebanyak RM3.3 juta telah disalurkan ke Parlimen Hulu Langat pada 2022 dan 2024 untuk melaksanakan 27 kerja sebutharga, meliputi kerja pengaluran sungai, menstabilkan tebing serta menaik taraf saluran dan struktur berkaitan.
"Bagi tahun 2025 pula, sebanyak RM700,000 diperuntukkan untuk enam lagi kerja sebutharga dengan skop sama. Semua kerja dijangka siap Disember 2025.
"Usaha jangka pendek ini dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir sementara menunggu projek RTB jangka panjang disiapkan sepenuhnya," katanya.


