KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa pihak berkuasa telah menceroboh privasi individu ketika menjalankan Ops Songsang di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit pada Sabtu lalu adalah tidak berasas, tegas Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aktiviti melibatkan 202 individu di dalam premis tertutup itu tidak boleh lagi dianggap sebagai hal peribadi memandangkan ia berlaku secara terbuka dalam kelompok besar.
“Privasi apa lagi? Kalau bersendirian di rumah, itu lain. Tapi ini berlaku di premis dengan kehadiran 202 orang,” katanya seperti dilapor Astro Awani selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), di Kuala Lumpur, semalam.
Saifuddin menegaskan polis perlu mengimbangi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang terhadap aktiviti tidak bermoral dengan hak sivil individu, namun menolak pandangan yang mempertahankan tindakan tersebut atas alasan privasi.
Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain yang mempersoalkan tindakan polis juga perlu melihat perkara tersebut dari sudut moral dan agama.
“Bergantung kepada sudut pandang, tetapi NGO juga perlu melihat dari perspektif bahawa perbuatan seperti ini tidak boleh dipertahankan dari segi moral mahupun agama,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata polis akan terus menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang sedia ada tanpa kompromi terhadap pelanggaran norma sosial.
Terdahulu, Saifuddin berkata terdapat keperluan meneliti semula perundangan berkaitan aktiviti tidak bermoral, khususnya melibatkan perbuatan luar tabii yang didapati semakin berleluasa di premis-premis tertutup.
Dalam serbuan Ops Songsang pada Sabtu lalu, kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 377 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan kerana kekurangan bukti, termasuk ketiadaan pengakuan daripada mana-mana individu sebagai mangsa.


