SHAH ALAM, 3 DIS: Jumlah mangsa banjir di Selangor yang berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menunjukkan penurunan ketara dengan hanya 745 mangsa setakat 5 petang.
Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa melibatkan 233 keluarga itu ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah.
Kuala Selangor masih merekodkan mangsa banjir tertinggi iaitu 732 mangsa yang berteduh di lapan PPS diikuti Sabak Bernam (13) di satu PPS.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca negara dijangka kekal baik untuk tempoh beberapa hari lagi.
Namun episod hujan lebat Monsun Timur Laut seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa bergantung kepada luruan monsun dan kemasukan udara lembap.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca serta platform media sosial agensi itu.
Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.


