UTM sedia beri kerjasama penuh siasatan kematian Syamsul Haris

3 Dis 2025, 12:41 AM
UTM sedia beri kerjasama penuh siasatan kematian Syamsul Haris

SHAH ALAM, 3 DIS: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedia memberi kerjasama penuh susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsuddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

UTM menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu sekiranya terbukti terlibat dalam kejadian tersebut dan akan memberikan kerjasama menyeluruh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan siasatan dapat dilengkapkan.

“UTM sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan.

Universiti tersebut turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menggesa semua pihak termasuk warga kampus serta orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Semalam, AGC mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Keputusan itu dibuat AGC berpandukan laporan siasatan dibuka PDRM ke atas kematian Allahyarham Syamsul Haris.

Menurut rekod, Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap bersama ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun ketika menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di Taman Pelangi Semenyih, Hulu Langat pada 15 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kes tersebut turut mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang berharap siasatan dapat dijalankan secara telus dan bebas daripada sebarang unsur meragukan.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri memandang serius insiden itu dan mahu proses siasatan dilakukan dengan adil demi memastikan keadilan kepada semua pihak.

“Sebarang bentuk kes buli yang berlaku sama ada secara fizikal mahupun bukan fizikal itu perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Dalam kes ini, terdapat indikasi seolah-olah berlaku sentuhan fizikal, sesuatu yang langsung tidak boleh diterima dan harus dibanteras sekeras-kerasnya,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris di Taman Pelangi Semenyih pada 15 Ogos lalu.