SERVE teruskan operasi pembersihan di Lubuk Jaya, ringan beban mangsa bah

2 Dis 2025, 2:04 PM

SHAH ALAM, 2 DIS: Pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE) meneruskan misi bantuan di Kampung Lubuk Jaya, Kuala Selangor dengan melaksanakan kerja pembersihan pascabanjir pagi tadi.

SERVE dalam kenyataan di Facebook memaklumkan operasi tertumpu kepada pengurusan sisa, pencucian rumah serta pemulihan kawasan terjejas bagi memastikan penduduk dapat kembali menghuni kediaman dalam keadaan selamat dan bersih.

Bagaimanapun, beberapa kawasan di daerah itu masih dinaiki air susulan fenomena banjir termenung, khususnya di kampung sekitar Asahan, menyebabkan pembersihan menyeluruh belum dapat dilaksanakan.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menunjukkan tren penurunan ketara malam ini.

Seramai 1,020 mangsa daripada 298 keluarga masih berlindung di PPS berbanding 1,464 mangsa daripada 413 keluarga pada sebelah petang, menandakan keadaan banjir semakin pulih secara berperingkat.

Kerajaan Negeri bersama agensi penyelamat dan pihak berkuasa tempatan dijangka meneruskan operasi bantuan sehingga semua kawasan terjejas pulih sepenuhnya.