SHAH ALAM, 2 DIS: Sebuah premis hiburan dan restoran di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang yang beroperasi tanpa lesen diserbu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) baru-baru ini.
Menurut MBDK, serbuan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasa MBDK dan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Hasil pemeriksaan mendapati premis yang dijadikan sebagai pusat hiburan dan restoran berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan daripada Pihak Berkuasa Melesen.
“Premis berkenaan juga terletak di luar zon hiburan majlis. Semakan juga menunjukkan lot tersebut terletak dalam zon komersial dan tidak mempunyai Sijil Kelayakan (CC) dan Sijil Pematuhan (CF),” menurut kenyataan itu.
Semua peralatan muzik disita di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995 (pindaan 1996 & 2001) bagi menghentikan aktiviti haram.
MBDK menegaskan pengusaha premis diberi arahan supaya tidak meneruskan aktiviti hiburan, dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pematuhan undang-undang.




