LONDON, 2 DIS: Lebih 1,000 khemah yang dibekalkan oleh United Kingdom (UK) dibenarkan masuk ke Gaza selepas berbulan-bulan tersadai, menurut Pejabat Luar, lapor PA Media/dpa.
Kira-kira 1,100 khemah memasuki Gaza melalui lintasan sempadan di Kerem Shalom pada Selasa, dengan lebih banyak lagi dijangka tiba sepanjang minggu.
Menurut Pejabat Luar, penghantaran ditangguhkan selama berbulan-bulan, tetapi akhirnya dibenarkan masuk ke Gaza berkat usaha antarabangsa untuk memperluas akses bantuan.
Secara keseluruhan, semua khemah itu dijangka menyediakan tempat perlindungan kepada 12,000 orang memandangkan keadaan cuaca semakin buruk sepanjang musim sejuk di wilayah yang 92 peratus rumah musnah atau rosak akibat peperangan.
"Setiausaha Luar Yvette Cooper berkata situasi di Gaza adalah "dahsyat" dan kemasukan khemah itu adalah "berita baik" tetapi "hanyalah satu langkah".
“Ibu bapa cuba melindungi anak-anak mereka di bawah bumbung yang rosak dan langit terbuka.
“Khemah ini akan menyediakan talian hayat kepada ribuan orang yang memerlukan tempat perlindungan, melindungi mereka daripada angin sejuk dan hujan berterusan yang menukar runtuhan menjadi lumpur,” katanya.
Menggesa lebih banyak bantuan dibenarkan masuk ke Gaza, Cooper berkata “awal tahun ini saya melihat satu lagi konsainan bantuan terkandas di sempadan di Jordan. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan.
“Ketibaan khemah ini menunjukkan skala potensi impak apabila bantuan kita dapat masuk dan kita akan terus melakukan apa sahaja yang kita mampu untuk menggesa akses kemanusiaan tanpa halangan, pembukaan semua lintasan, pelaksanaan rancangan damai dan laluan ke arah keamanan.”
Jonathan Veitch, wakil khas UNICEF di Palestin berkata keadaan di Gaza adalah "amat sukar", terutamanya bagi kanak-kanak, beliau berkata "lebih banyak lagi yang diperlukan."


