SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 19 penduduk Kampung Jawa, Klang yang terlibat dalam pengosongan tanah bagi projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) telah memohon untuk menyertai Skim Smart Sewa sebagai penempatan sementara.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, walaupun semua penduduk terbabit telah mengemukakan permohonan, kemasukan ke unit-unit Smart Sewa masih tertakluk kepada prosedur kelulusan dan syarat sewaan yang ditetapkan Kerajaan Negeri.
“Semua 19 penduduk sudah memohon Smart Sewa, namun untuk masuk mereka perlu ikut prosedur,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Bantuan Skim Ceria 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, penduduk turut memohon agar kemasukan dipercepatkan, namun permintaan supaya sewa ditanggung selama setahun perlu diperhalusi kerana melibatkan kos hampir RM200,000 bagi semua keluarga.
Borhan menjelaskan, unit-unit Smart Sewa yang ditawarkan terletak dalam lingkungan kurang 10 kilometer dari kampung berkenaan, melibatkan empat lokasi pilihan termasuk unit berfasiliti kolam renang dengan kadar sewaan RM900 sebulan.

“Bagi saya, penempatan sementara tidak perlu sampai setahun, enam bulan pun sudah memadai. Setakat ini walaupun semua sudah memohon, belum ada penduduk yang masuk ke unit berkenaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan hanya pemilik sah layak dipertimbangkan untuk kemasukan ke Smart Sewa, dan Kerajaan Negeri tidak membenarkan unit berkenaan disewakan kepada pihak lain, terutama warga asing.
Mengenai perkembangan keseluruhan isu WCE di Kampung Jawa, Borhan berkata Kerajaan Negeri sudah memberi pelbagai ruang, termasuk beberapa kali menangguhkan arahan pengosongan, namun proses berlarutan berikutan permintaan penduduk.
Katanya, pengambilan tanah dibuat mengikut prosedur dan bayaran pampasan sebanyak 75 peratus telah disalurkan kepada pemilik yang layak.
“Penangguhan terakhir diberikan selepas penduduk memfailkan injunksi, namun ia ditolak mahkamah. Hari ini tiada sebarang insiden, saya sendiri pantau sejak pagi dan semuanya lancar,” katanya.
Daripada keseluruhan 1.92 hektar tanah terlibat, hanya 0.72 hektar diperlukan untuk jajaran WCE.
“Baki tiga ekar (1.2 hektar) akan dikembalikan kepada pemilik dengan geran baharu dan mereka boleh memohon untuk naik taraf penggunaan,” katanya.
Konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 WCE yang berlarutan hampir enam tahun berakhir selepas kerja perobohan kediaman di kawasan 0.73 hektar berkenaan berjalan secara aman bermula jam 8 pagi tadi.


