MBPJ sasar 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2045

2 Dis 2025, 7:10 AM
MBPJ sasar 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2045

SHAH ALAM, 2 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam daripada 10 peratus kepada 40 peratus menjelang 2045 sebagai langkah utama memperkukuh mobiliti lestari di bandar itu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata usaha itu penting bagi menangani kesesakan lalu lintas yang semakin serius serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, lapor The Star.

“Terdapat keperluan untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam dan kemudahan sokongannya bagi menangani peningkatan jumlah pengguna jalan raya serta meminimumkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

“Akhirnya, jalan raya mesti menyediakan perjalanan yang lancar. Bandar ini menyaksikan kira-kira satu juta orang keluar masuk setiap hari, jadi kita perlu memenuhi permintaan terhadap pengangkutan awam,” katanya pada siri bengkel bersama penduduk Petaling Jaya.

Bagi mencapai sasaran berkenaan serta menangani kebimbangan masyarakat termasuk isu pembangunan berorientasikan transit (TOD), MBPJ akan melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Bandar Petaling Jaya (PIP) 2.0 bagi tempoh 2026–2035 dengan peruntukan RM527.3 juta.

Pelan itu dibangunkan melalui kajian penyelidikan selama 11 bulan dan proses libat urus awam.

Ia memberi tumpuan kepada tujuh komponen utama meliputi pengangkutan awam, pengurusan trafik, laluan pejalan kaki, berbasikal dan mikromobiliti, parkir, trafik kenderaan barangan serta pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Mohamad Zahri berkata sasaran peningkatan penggunaan pengangkutan awam akan dilaksanakan secara berperingkat kepada 20 peratus pada 2030, 25 peratus pada 2035, 30 peratus pada 2040 dan 40 peratus pada 2045.

Bagaimanapun, perunding trafik Rosli Azad Khan menegaskan projek TOD sering tidak mencapai matlamat kerana pembelinya tidak semestinya pengguna pengangkutan awam.

“Mereka yang mampu membeli hartanah TOD biasanya tetap memiliki kenderaan dan tidak bergantung kepada rel, sekali gus menafikan tujuan sebenar pembangunan itu,” katanya.

Ahli Majlis MBPJ, Kusaaliny Mahendran pula memaklumkan kajian 2013 pernah mengenal pasti 105 laluan bas ideal, tetapi hanya enam berjaya dilaksanakan akibat kekangan bajet.

Beliau berkata MBPJ turut meningkatkan kebolehjalanan pejalan kaki di beberapa kawasan termasuk dari Seksyen 8 ke Seksyen 52 serta laluan Sungai Penchala.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Suhana Koting menegaskan kepentingan penambahbaikan perjalanan pertama dan terakhir bagi meningkatkan jumlah pengguna.

“Ini termasuk penambahbaikan laluan pejalan kaki, laluan mikromobiliti dan sambungan bas yang lebih baik ke stesen transit,” katanya sambil menambah PIP 2.0 selari dengan dasar pengangkutan negara.

Penyelidik bebas, Nischal Ranjinath Muniandy pula berpendapat masa perjalanan yang panjang akibat pertukaran laluan yang banyak masih menjadi penghalang.

Menurutnya, lebih banyak laluan terus antara kawasan kejiranan utama diperlukan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.