Premis import eksport rupa-rupanya sarang pelacuran, dalang utama ditahan

2 Dis 2025, 5:47 AM
Premis import eksport rupa-rupanya sarang pelacuran, dalang utama ditahan

SHAH ALAM, 2 DIS: Sindiket pelacuran yang beroperasi di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Klang Sentral berjaya ditumpaskan hasil aduan awam dan risikan selama dua minggu.

Premis itu dipercayai berselindung di sebalik operasi sebuah syarikat pengurusan hartanah dan import eksport bagi mengaburi pihak berkuasa.

Siasatan turut mendapati seorang lelaki tempatan dikenali sebagai “Kevin” dipercayai menjadi dalang utama yang mengurus dan menyelia keseluruhan kegiatan sindiket tersebut.

Dalam serbuan yang dijalankan malam tadi, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa 21 individu dan menahan 17 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki Bangladesh dan sembilan wanita Vietnam berusia antara 21 hingga 32 tahun.

Premis itu dipercayai berselindung di sebalik operasi sebuah syarikat pengurusan hartanah dan import eksport bagi mengaburi pihak berkuasa. Foto Facebook JIM

"Dalam struktur operasi sindiket, seorang lelaki warga Bangladesh bertindak sebagai ‘Kapten’ yang mengatur kegiatan pelacuran serta mengutip bayaran RM50 hingga RM80 bagi setiap pelanggan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut JIM, semua yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah selain tinggal lebih masa, yang merupakan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Wanita Vietnam yang dieksploitasi itu dianggarkan memperoleh RM400 hingga RM600 sehari hasil kegiatan tersebut.

"Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut," katanya.

JIM menegaskan tidak akan berkompromi dengan warga asing yang menyalahgunakan pas, tinggal secara haram atau individu yang melindungi pendatang tanpa izin.

Operasi berterusan akan dijalankan bagi membanteras kegiatan tidak bermoral serta aktiviti menyalahi undang-undang di negara ini.