Pembersihan pasca banjir di Pasar Awam Salak, pastikan operasi pulih

2 Dis 2025, 3:53 AM
Pembersihan pasca banjir di Pasar Awam Salak, pastikan operasi pulih

SHAH ALAM, 2 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bersama beberapa jabatan teknikal melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Pasar Awam Salak pada Sabtu lalu bagi memastikan pasar tersebut dapat beroperasi semula seperti biasa.

Menurut MPSepang, pembersihan itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perlesenan, Jabatan Landskap serta peniaga pasar berkenaan.

"Tindakan pembersihan memberi tumpuan kepada pengumpulan dan pelupusan sisa banjir, termasuk barangan jualan serta peralatan peniaga yang rosak selepas ditenggelami air.

Tindakan pembersihan menumpukan kepada pengumpulan dan pelupusan sisa banjir, termasuk barangan jualan dan peralatan peniaga yang rosak. Foto Facebook MPSepang

"Kerja pembersihan segera ini penting bagi membolehkan peniaga yang terjejas kembali beroperasi seperti biasa, sekali gus memastikan pasar dapat berfungsi semula sebagai pusat jual beli utama penduduk setempat," demikian menurut kenyataan MPSepang.

Terdahulu, ribut yang melanda pesisir barat Semenanjung menjejaskan lima daerah termasuk Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Ribut Tropika Senyar sudah “mati” dan kesannya yang tinggal hanyalah hujan.

METMalaysia turut memaklumkan cuaca dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di beberapa negeri termasuk Selangor berdasarkan analisis model cuaca terkini.