SHAH ALAM, 2 DIS: Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan penawaran kursus pendidikan di universiti awam (UA) tetap relevan memandangkan ia tidak terhad kepada penghasilan guru semata-mata.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata graduan kursus berkenaan berpotensi untuk menyumbang di sektor swasta, industri latihan, kaunseling, pengurusan sumber manusia, pembangunan komuniti dan sektor lain.
Ini kerana, katanya, graduan pendidikan dilatih dengan pelbagai kemahiran insaniah, pedagogi, teknologi pendidikan, komunikasi, kepimpinan dan penyelidikan yang relevan dengan pelbagai sektor lain, lapor Berita Harian.
"Kementerian sentiasa mengambil kira keperluan pasaran pekerjaan, termasuk dalam bidang pendidikan dalam merancang penawaran program di UA.
"Kementerian dan UA juga sentiasa memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui jawatankuasa bersama bagi menyelaras pengambilan, keperluan opsyen, serta penambahbaikan kurikulum.
"Usaha ini bagi memastikan penawaran kursus pendidikan selaras keperluan semasa negara, sekali gus mengelakkan ketidaksepadanan antara bekalan graduan dan permintaan pasaran," katanya dalam jawapan bertulis di portal Parlimen.
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai rasional penawaran kursus pendidikan di UA jika graduan tidak diberi keutamaan untuk berkhidmat sebagai pendidik selepas tamat pengajian.
Mengenai kebolehpasaran graduan, Zambry berkata, data Kajian Pengesanan Graduan menunjukkan graduan pendidikan memiliki kadar kebolehpasaran baik, sama ada dalam bidang keguruan atau bidang alternatif.
Beliau berkata, UA juga menambahbaik program melalui integrasi 'micro-credential', latihan industri, kemahiran digital serta kemahiran abad ke-21 bagi memastikan graduan relevan dan kompetitif.
"Kementerian cakna mengenai isu kekurangan guru dalam bidang kritikal seperti Sains, Matematik, Pendidikan Khas dan Bahasa.
"Justeru, UA dipacu untuk menambah penawaran opsyen kritikal, meningkatkan kerjasama dengan KPM dalam unjuran pengambilan serta memberi tumpuan kepada reskilling dan upskilling graduan pendidikan sedia ada supaya boleh diserap dalam bidang berkenaan.
"Kementerian bersama KPM akan terus memastikan penyelarasan strategik agar tiada pembaziran sumber, graduan kekal berdaya saing dan keperluan guru negara dapat dipenuhi secara berterusan," katanya.
Mengulas perkara membabitkan lantikan guru, Zambry berkata, ia adalah di bawah tanggungjawab KPM, berdasarkan unjuran keperluan tahunan, opsyen kritikal serta kemampuan fiskal kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, graduan pendidikan dari UA tetap diberikan peluang untuk memohon dan bersaing secara adil melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).


