PM umum tanggungjawab baharu Tengku Zafrul Rabu ini

1 Dis 2025, 4:37 AM
PM umum tanggungjawab baharu Tengku Zafrul Rabu ini
PM umum tanggungjawab baharu Tengku Zafrul Rabu ini
PM umum tanggungjawab baharu Tengku Zafrul Rabu ini

SHAH ALAM, 1 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan tanggungjawab baharu kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 3 Disember ini selepas tamat tempoh lantikannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Menurut Anwar, prestasi Tengku Zafrul dalam memacu jaringan pelaburan dan perdagangan negara di peringkat antarabangsa membanggakan sekali gus wajar diteruskan dalam peranan lain demi manfaat negara.

"Beliau masih ada tanggungjawab, tidak boleh lepaskan begitu saja. Saya beritahu beliau, berakhir sebagai Menteri di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) pada 2 hari bulan dan beliau akan terus kerja, yang akan saya umumkan pada 3 hari bulan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran kenderaan elektrik pertama PERODUA, QV-E, di ibu negara hari ini, lapor Harian Metro.

Tambahnya, kepimpinan Tengku Zafrul menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) antara faktor utama kejayaan negara dalam pelaburan asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dalam satu dua tahun ini, saya banyak menjalankan tugas di luar negara dan peranan MIDA, MATRADE serta lain-lain agensi di bawah pimpinan beliau itu sangat membanggakan serta menampakkan kejayaan," ujarnya.

Tengku Zafrul akan menamatkan tugas di MITI berkuat kuasa esok, susulan tamat tempoh lantikan sebagai Senator.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Senator penggal pertama pada Mac 2020 dan menjawat jawatan Menteri Kewangan, sebelum menyambung penggal kedua pada Disember 2022 dan memegang portfolio di MITI.