Tiada rombakan kabinet besar-besaran, hanya isi kekosongan - Anwar

1 Dis 2025, 3:46 AM
Tiada rombakan kabinet besar-besaran, hanya isi kekosongan - Anwar

SHAH ALAM, 1 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan bahawa beliau tidak akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran, sebaliknya hanya akan mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri.

Perdana Menteri berkata ia berikutan tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbiran itu berakhir, lapor Berita Harian.

"Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Mungkin rombakan itu, kalau ada masa yang panjang tapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu setengah tahun saja, jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan.

"Bagaimanapun, saya sedang merenung apakah langkah yan harus diambil tapi mengisi kekosongan itu ada keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan model kenderaan elektrik pertama (EV) keluaran PERODUA, QV-E di Kuala Lumpur hari ini.