PM Anwar ucap takziah kepada keluarga bekas pengetua Victoria Institution

30 Nov 2025, 5:44 AM
PM Anwar ucap takziah kepada keluarga bekas pengetua Victoria Institution

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluahkan rasa dukacita selepas menerima berita pemergian bekas pengetua Victoria Institution Rabiatul Adwiah @ Robeahton Ahmad Damanhuri.

Allahyarhamah juga merupakan guru Bahasa Melayu Anwar ketika menuntut di Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata Allahyarhamah meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga kepada semua pelajar yang pernah dibimbingnya.

Beliau menyifatkan guru tersebut sebagai insan yang menanam minat terhadap bahasa, ilmu, dan adab dalam diri pelajar.

“Bimbingan dan tunjuk ajar beliau kekal sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan kepimpinan saya sehingga kini,” kata Anwar.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, dilapangkan kubur, dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman.

Anwar juga mendoakan keluarga Allahyarhamah tabah menghadapi dugaan ini.