SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri terus komited memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir yang terjejas akibat cuaca tidak menentu terjamin, kata EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin.
Menurut beliau, lawatannya ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Salak, PPS Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan PPS Dewan Orang Ramai Dengkil bagi menilai keperluan termasuk aspek kesihatan.
“Setakat pagi ini, PPS SK Salak menempatkan 188 orang daripada 64 keluarga, PPS Dewan Orang Ramai Taman Gemilang menempatkan 86 mangsa daripada 21 keluarga manakala 79 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Dengkil.
"Sepanjang lawatan, saya sempat berinteraksi dengan mangsa bagi meneliti keperluan mangsa dan memberi jaminan keselamatan dan kesihatan mereka terpelihara sepanjang berada di PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata, Kerajaan Negeri juga menggalakkan beberapa langkah penting diambil mangsa banjir seperti:
Membuat laporan polis bagi sebarang kerosakan atau kerugian akibat banjir untuk bantuan serta tuntutan selepas bencana.
Kekal berada di PPS sehingga keadaan benar-benar selamat.
Segera memaklumkan kepada pegawai kesihatan jika mengalami masalah kesihatan fizikal atau mental termasuk tekanan.
Dalam pada itu, beliau berkata semua agensi berkaitan termasuk pasukan keselamatan, pegawai kesihatan, sukarelawan digerakkan bagi memastikan keselamatan rakyat menjadi keutamaan.
Katanya, pemantauan situasi akan diteruskan bagi memastikan setiap mangsa menerima bantuan sewajarnya sehingga mereka dapat kembali ke kediaman masing-masing dalam keadaan selamat.






