Banjir: Nadma hantar bekalan tambahan ke negeri terjejas

28 Nov 2025, 12:00 PM
Banjir: Nadma hantar bekalan tambahan ke negeri terjejas
Banjir: Nadma hantar bekalan tambahan ke negeri terjejas

SHAH ALAM, 28 NOV: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang menyelaraskan penghantaran bekalan tambahan ke beberapa negeri secara segera susulan peningkatan kejadian banjir ketika ini.

Menurut kenyataan Nadma, permohonan tambahan telah diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, Selangor, Kedah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis. Bekalan tersebut melibatkan 3,000 unit kit makanan dan 6,700 unit makanan retort bagi memenuhi keperluan petugas dan mangsa bencana.

“Sebanyak 128,186 unit khemah boleh lipat (C-Tent) juga telah dibekalkan ke seluruh negara daripada pelbagai sumber, antaranya Nadma (41,479 unit), Yayasan Sultan Johor (40,166), Petronas (5,194), JKM (39,485) dan lain-lain (1,862).

“Nadma bersedia membuat penghantaran tambahan C-Tent sekiranya terdapat keperluan di lapangan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Penyelarasan kini dijalankan oleh Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan kesiapsiagaan negeri berada pada tahap optimum.

“Bagi memperkukuh keupayaan pemulihan infrastruktur semasa bencana, Nadma menempatkan tujuh set jambatan Bailey di lokasi strategik iaitu tiga set masing-masing di Sabah dan Sarawak, serta satu set di Kelantan,” menurut kenyataan itu.

Jambatan Bailey berfungsi sebagai jambatan sementara bagi menggantikan jambatan kekal yang rosak atau musnah akibat bencana alam.

Nadma memaklumkan langkah awal ini diambil bagi memastikan keperluan logistik bencana berada pada tahap optimum sebelum musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula, termasuk pembekalan bantuan makanan, C-Tent serta aset jambatan Bailey.

Selain itu, 60,000 kit makanan telah disediakan untuk mangsa bencana selepas keluar dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala 110,000 unit makanan retort untuk petugas operasi di lapangan dan bagi kegunaan hari pertama PPS dibuka telah dihantar ke depoh-depoh di seluruh negara.

Nadma turut bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi menyediakan bekalan makanan semasa bencana secara berperingkat.