Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Terengganu hingga esok

28 Nov 2025, 10:22 AM
Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Terengganu hingga esok

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya membabitkan Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu yang dijangka berlaku hingga esok.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip menerusi kenyataan hari ini berkata beberapa daerah lain di negeri itu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu, selain kawasan Jerantut dan Kuantan di Pahang dijangka mengalami hujan berterusan tahap buruk.

Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan) serta Jelebu di Negeri Sembilan.

Amaran sama juga dikeluarkan di Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini dengan melayari laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan itu.

Pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui hotline 1-300-22-1638.

-- BERNAMA