MBDK tawar kompaun parkir serendah RM15 sepanjang Disember

28 Nov 2025, 9:06 AM
MBDK tawar kompaun parkir serendah RM15 sepanjang Disember

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai berpeluang menyelesaikan tunggakan kompaun parkir Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kadar serendah RM15 sepanjang Disember ini.

Kempen itu meliputi pelbagai kesalahan trafik kecuali kompaun bagi kesalahan parkir di petak khas, petak OKU, halang lalu lintas, serta kompaun kenderaan berat yang ditunda.

”Tawaran ini melibatkan kompaun letak kereta dengan kadar serendah RM15 sehingga RM300 bagi kompaun melibatkan pelbagai kesalahan trafik.

“Orang ramai digalakkan merebut tawaran pengurangan kompaun letak kereta dengan menjelaskan tunggakan kompaun serendah RM15 sebelum tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil,” menurut MBDK dalam kenyataan hari ini.

Kemudahan pembayaran dalam talian disediakan bagi memudahkan orang ramai:

  • laman sesawang rasmi MBDK: ipay.mpklang.gov.my

  • aplikasi Smart Parking MBDK & Smart Selangor Parking

  • portal KPKT: pbtpay.kpkt.gov.my

Selain itu, mesin i-Kiosk disediakan di lima lokasi strategik sekitar Klang:

  • Ibu Pejabat MBDK

  • Kompleks Pasar Besar Meru

  • Jalan Tengku Kelana

  • Jalan Raya Barat

  • Ruang legar Pasaraya GM Klang

Kemudahan ini membolehkan pembayaran dilakukan dengan cepat dan cekap tanpa perlu hadir ke kaunter.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Unit Letak Kereta, Jabatan Penguatkuasa MBDK di talian 03-3375 8037 / 8038 / 8039.