SHAH ALAM, 27 NOV: Inisiatif Express Development Approval (EDA)@Sepang yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terus menunjukkan impak besar apabila mencatat nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM15.4 bilion setakat ini.
MPSepang memaklumkan jumlah itu diperoleh daripada 20 projek yang diluluskan sejak EDA diperkenalkan pada 24 Jun tahun lalu, kebanyakannya membabitkan pembangunan pusat data, industri perkilangan dan projek komersial.
Jelasnya, inisiatif itu bertujuan mempercepat proses kelulusan pembangunan di daerah Sepang dengan tempoh kelulusan hanya 20 hari merangkumi permohonan seperti Kebenaran Merancang, pelan kerja tanah atau kejuruteraan, pelan bangunan, pelan jalan dan perparitan, pelan landskap serta pelan lampu jalan.
“Tujuan utama EDA sama dengan dasar Speed Selangor iaitu mempercepat kelulusan pembangunan tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan seperti pelaksanaan projek bagi kategori industri dan komersil dan pendirian bangunan jenis (free standing building).
“Selain itu, pemilikan tanah selesai, syarikat mempunyai aliran tunai yang kukuh, pihak perunding yang kompeten, komitmen atau aku janji projek boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun dan seumpamanya,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Negeri melancarkan Speed Selangor pada Oktober lalu bagi mempercepat dan mempermudah proses kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan.
Inisiatif itu turut mengurangkan tempoh kelulusan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek industri dan komersial strategik berimpak tinggi.
Speed Selangor juga menekankan prinsip memudahcara perniagaan dengan memastikan kepantasan dan kecekapan di peringkat pihak berkuasa tempatan tanpa menjejaskan elemen ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan.




