Ramai orang menyebut politik populisme tetapi sebenarnya kita semua tidak jelas apa maksud perkataan itu. Bukan hanya di Malaysia tetapi di serata dunia, istilah politik ini tidak mudah ditakrif dengan mudah. Jadi apa itu populisme?
Apakah pemimpin populis itu menentang elit? Atau, beliau menawarkan idea yang disukai ramai pengundi? Bolehkah pemimpin populis muncul dalam demokrasi atau melalui sistem pilihan raya? Atau, semua pemimpin kuku besi yang dikagumi ramai itu seorang populis?
Maka sejarawan dan ahli falsafah Jan-Werner Müller menulis buku nipis What is Populism pada 2016, tahun pertama Donald Trump berkempen sebagai calon presiden dengan idea yang dianggap "populis". Tetapi apakah presiden Amerika Syarikat amal populisme?

Dalam bukunya, diterjemah dengan judul Wayang Politik: Bencana Populisme & Strategi Menghadapinya (2025), Müller membahaskan dengan panjang lebar sejarah perbahasan idea ini sejak hujung abad ke-19 hingga 1960-an.
Huraiannya menarik, dengan menolak pelbagai kekeliruan dan salah faham. Terlalu banyak salah tanggapan ditangkis dalam buku ini, walau hanya setebal 105 halaman, tetapi terasnya mudah. Populisme itu berdiri di atas penolakan konsep asas demokrasi yakni rakyat itu majmuk.
Pemimpin populis, menurut profesor Universiti Princeton ini, berasa dialah yang benar-benar mewakili "suara rakyat yang sebenar". Pemimpin, parti atau aliran lain tidak mewakili rakyat tetapi dia sahajalah yang bersama "rakyat yang sah".
Dengan kata lain, pemimpin populis sengaja memecah-belah kemajmukan rakyat dalam demokrasi. Pemimpin dan rakyat yang menentangnya dianggap tidak sah; mereka ini bukanlah rakyat yang sebenar.
Sewaktu pemimpin populis berada di barisan pembangkang, rakyat yang bersamanya diajak menentang elit yang dilempar label "tidak bermoral". Rakyat ini rakyat yang sah dan bermoral. Tetapi apabila sudah berkuasa, rakyat yang mengkritiknya tidak lagi dianggap rakyat yang sah sebab tidak berkongsi pandangan moral politiknya.
Asas moral atau nilai baik dirinya pula bukan diolah daripada hasrat umum rakyat yang berfikiran waras (akal sihat atau ‘common sense’). Pemimpin populis hanya berpandukan pada retorik atau hujah simbolik bagi mengelak dipertikaikan.
Majoriti senyap
Fakta atau hujah rasional tidak dipandang berat tetapi sering berselindung di sebalik nama rakyat yang "sebenar" atau majoriti senyap (silent majority) yang kononnya berada di belakangnya.

Dalam bahasa Muller, pemimpin yang mengamalkan populisme "sentiasa boleh menggunakan hujah 'rakyat sebenar' atau 'majoriti senyap' untuk menolak wakil rakyat yang dipilih secara sah atau keputusan undian yang rasmi."
Perbahasan ini menggunakan pelbagai contoh daripada peristiwa politik dalam tiga bab menarik yang kemudiannya disimpulkan kepada tujuh tesis asas apa itu populisme.
Tiga bab awal itu membahaskan persoalan "apa itu perkataan populis", "apa yang populis lakukan ketika berkuasa" dan "cara kita berdepan seorang pemimpin populis".
Yang menarik kita perhatikan, tiga tabiat berbahaya apabila negara dikuasai seorang pemimpin populis.
Pertama, dia mahu peralatkan jentera kerajaan atau menawan negara (state capture) mengikut selera politiknya. Dengan itu suara pengkritik atau penggerak masyarakat sivil ditindas dengan alasan mereka tidak mewakili majoriti rakyat atau tiada asas moral.
Kedua, dia akan mencipta pengikut di dalam dan di luar pentadbiran kerajaan yang setia dengan aliran berfikirnya. Mereka ini akan dapat manfaat kebendaan atau kelebihan akibat payungannya. Istilah lebih akademik, pemimpin populis suka mengamalkan ‘clientelism’ atau politik naungan. Politik seumpama ini membiakkan rasuah, salah guna kuasa dan pilih kasih.
Ketiga, penindasan kepada lawan politiknya dibuat melalui diskriminasi undang-undang atau tindakan penguatkuasaan. Perlanggaran hak asasi dan hak demokrasi tidak lagi menjadi persoalan di tangan seseorang pemimpin populis.
Dalam negara yang dikuasai budaya populisme, rasuah pemimpin tidak menggoncang kuasanya. Sifat pilih kasihnya tidak dianggap buruk. Jadi usaha membongkar rasuah atau amalan pilih bulu tidak mampu menjejaskan kedudukannya.
Baca lebih lanjut dalam buku Wayang Politik: Bencana Populisme & Strategi Menghadapinya. Ia sangat mudah untuk dihadam bagi mengenali pemimpin populis dan politik populisme. Buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ini, yang dibiaya Kerajaan Selangor, pasti membuka mata kita ke arah mengenali sifat dan bahaya politik masa kini.


