SHAH ALAM, 27 NOV: Kekuatan Ribut Tropika Senyar kini bergantung kepada suhu air di Selat Melaka, dengan sistem itu dikesan menghala ke Semenanjung Malaysia dan berpotensi menjejaskan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pakar Meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Azizan Abu Samah, berkata pembentukan Senyar dianggap luar biasa memandangkan kawasan berhampiran khatulistiwa lazimnya tidak mempunyai pusaran angin mencukupi untuk menghasilkan ribut kuat.
“Sistem tekanan udara rendah yang membentuk Senyar sudah berlegar di perairan Selat Melaka sejak 21 November lalu.
"Pada masa ini, Senyar dikategorikan sebagai ribut tropika kategori 1, masih lemah, kelajuan angin sekitar 60 kilometer sejam,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Menurutnya, suhu permukaan laut, terutamanya di Selat Melaka memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada Senyar akan kekal lemah atau bertukar lebih kuat.
“Sekiranya lagi panas suhu air ini, lebih banyak tenaga akan diserap ribut tropika menyebabkan skala kekuatannya meningkat apabila menghentam daratan, selain bertukar kategori menjadi siklon.
"Dalam senario siklon tropika terbentuk dan mendarat, kawasan terjejas akan mengalami angin kencang, hujan lebat dan air naik,” jelasnya.
Azizan berkata model ramalan menunjukkan pergerakan Senyar berubah dari hari ke hari, menjadikan trajektorinya sukar dipastikan.
“Pada Rabu, model tunjuk ia bergerak ke utara, tetapi hari ini menunjukkan Senyar patah balik menghala ke Malaysia.
"Kawasan Selat Melaka ini sempit, diapit Semenanjung Malaysia dan Sumatera, jadi model pun sukar merekodkan pergerakan sebenar ribut,” katanya.
Beliau menegaskan pemantauan berterusan masih diperlukan kerana Senyar berpotensi menjadi lebih lemah atau lebih membinasakan.
“Buat masa ini, kita belum pasti sama ada Senyar akan melemah menjadi ‘tropical depression’ atau menguat menjadi siklon yang lebih membinasakan. Kita perlu terus buat pencerapan masa nyata.
"Tetapi sekiranya ia terbentuk menjadi siklon, ia satu sejarah baharu untuk cuaca Malaysia, kerana kali terakhir fenomena hampir sama ialah Taifun Vamey pada tahun 2001 yang tempiasnya terkena Pulau Pinang,” ujar beliau.
Mengulas perbezaan istilah ribut, Azizan menjelaskan bahawa nama seperti siklon, taufan atau hurricane hanya dipisahkan mengikut lokasi pembentukannya.
“Kalau ribut terbentuk di Laut China Selatan/Pasifik, ia dipanggil taufan. Sekiranya terbentuk di Lautan Hindi, ia digelar siklon. Manakala jika terbentuk di Lautan Atlantik berdekatan benua Amerika, ia dipanggil hurricane,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Ribut Tropika Senyar dikesan memasuki utara perairan Selat Melaka menuju barat Semenanjung, berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora khususnya di negeri barat dan tengah Semenanjung mulai hari ini.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika dengan kelajuan sekitar 24 kilometer sejam (km/j) itu dikesan di utara Sumatera, Indonesia dan 102 kilometer ke barat daya Lumut, di Perak.
Amaran hujan berterusan (buruk) yang dijangka berterusan hingga Sabtu, melibatkan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan untuk Kelantan, Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran. Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor (Tangkak dan Segamat).
Garis Masa Penting:
22 Nov: Sistem tekanan rendah dikesan di Selat Melaka.
26 Nov: Pendaratan di Langsa, Aceh (Sumatera).
26–27 Nov: Hujan lebat dan angin kencang melanda pantai barat Malaysia.
27–29 Nov: Amaran hujan berterusan untuk Selangor dan negeri lain.





