Fenomena takut ketinggalan ancam kesihatan mental remaja

28 Nov 2025, 3:00 AM
Fenomena takut ketinggalan ancam kesihatan mental remaja
Fenomena takut ketinggalan ancam kesihatan mental remaja

SHAH ALAM, 27 NOV: Fenomena Fear of Missing Out (FOMO) atau ketakutan ketinggalan semakin menjadi ancaman besar kepada kesihatan mental remaja pada era media sosial yang serba pantas dan kompetitif.

Pakar Psikologi Gunaan dan Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurwina Akmal Anuar berkata kajian yang dijalankan sejak 2016 menunjukkan FOMO tidak pernah memberi kesan positif, sebaliknya secara konsisten memberikan impak negatif terhadap keyakinan diri dan kesejahteraan mental remaja.

“Tekanan rakan sebaya yang melabel individu sebagai ‘left out’ atau terpinggir daripada trend sosial memudaratkan kesihatan mental mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan, FOMO berkait rapat dengan isu harga diri apabila remaja merasa tidak diterima dalam kumpulan sosial. Perasaan ini merupakan pintu masuk utama kepada kemurungan, apabila mereka mula merasa sunyi, tidak berguna dan rendah diri.

"Fenomena FOMO menjadi lebih ketara dengan perkembangan media sosial yang membolehkan remaja sentiasa memantau dan membandingkan diri dengan kehidupan ‘highlight reel’ rakan sebaya secara digital.

Pakar Psikologi Gunaan dan Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurwina Akmal Anuar

“Jika dahulu ketinggalan dalam aktiviti fizikal sudah menimbulkan rasa terpinggir, kini media sosial meningkatkan perasaan itu secara drastik,” tambah beliau.

Bagaimanapun, jelas beliau, risiko FOMO cenderung berkurangan apabila seseorang mencapai usia dewasa, khususnya selepas 25 tahun, kerana pemikiran yang lebih matang membolehkan mereka menilai keperluan untuk mengikuti keadaan semasa.

“Remaja perlu dibimbing dengan cara berfikir yang matang melalui peranan penting ibu bapa dan guru agar mereka dapat membina keyakinan diri dan tidak mudah terpengaruh dengan tekanan sosial negatif,” kata beliau.

Beliau menegaskan, cabaran FOMO adalah isu kritikal yang memerlukan tindakan holistik dari masyarakat, pendidik dan penjaga untuk menjaga kesihatan mental generasi muda agar tidak terperangkap dalam tekanan sosial yang merosakkan.

“Isu utama ialah remaja sukar menerima diri sendiri dan membezakan antara apa yang patut dan tidak patut diikuti dalam konteks sosial mereka,” tambahnya.