ad

Lelaki rebah dalam perahu selepas tarik lembu sebelum disahkan meninggal dunia

27 Nov 2025, 2:52 AM
Lelaki rebah dalam perahu selepas tarik lembu sebelum disahkan meninggal dunia

GUA MUSANG, 27 NOV: Warga emas meninggal dunia dalam perahu selepas selesai menarik lembu peliharaannya ke tebing sungai di Jambatan Kampung Limau Kasturi, di sini semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa Mohamad Taibi Wook, 60, dipercayai rebah sejurus selesai membawa lembu ke kawasan selamat susulan air sungai naik mendadak.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati beberapa penduduk kampung melihat mangsa sedang menarik lembu ke atas tebing sebelum dilihat kembali ke perahu dalam keadaan lemah.

“Mangsa tiba-tiba jatuh tersungkur dalam perahu. Beberapa penduduk segera membantu mengangkatnya ke tebing sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Jeram Tekoh bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan Mohamad sudah meninggal dunia sejurus tiba di klinik.

Menurutnya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat dan hasil laporan mendapati punca kematian adalah disebabkan penyakit jantung iskemik (ischemic heart disease).

Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan fizikal ke atas mayat tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam.

“Ketua Polis Balai Bertam bersama anggota sudah menemu bual saksi kejadian dan membuat pemeriksaan lanjut terhadap mangsa,” jelasnya.

Maklumat lanjut daripada isteri mangsa turut memaklumkan bahawa arwah mempunyai sejarah penyakit jantung tersumbat sejak 2021 dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).