SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di beberapa kawasan di Terengganu sehingga Jumaat ini.
Kawasan terlibat ialah daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, yang dijangka mengalami hujan sangat lebat secara berterusan dalam tempoh tersebut.
MET Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) bagi Kelantan serta beberapa daerah di Terengganu, iaitu Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, yang juga dijangka menerima hujan lebat berpanjangan sehingga hari yang sama.
Selain itu, beberapa negeri lain ditempatkan di bawah kategori waspada.
Cuaca hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Perlis, beberapa daerah di Kedah seperti Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Sik dan Baling, serta daerah Hulu Perak di Perak sehingga lewat hari ini.
Bermula Jumaat hingga Sabtu, hujan berterusan dijangka melibatkan negeri Kedah (khususnya Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta daerah Tangkak dan Segamat di Johor.
Sementara itu, hujan turut dijangka berterusan di beberapa kawasan di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan sehingga esok.
Orang ramai diingatkan agar terus berwaspada susulan potensi berlakunya banjir kilat, tanah runtuh, angin kencang dan gangguan perhubungan terutama di kawasan rendah serta cerun bukit.
"Pantau perkembangan cuaca terkini melalui laman sesawang MET Malaysia, aplikasi myCuaca, saluran media sosial atau talian hotline 1-300-22-1638 bagi mendapatkan maklumat sahih dari semasa ke semasa," katanya.




