ad

Paras air Sungai Bernam kekal bahaya, pasukan penyelamat terus siap siaga

26 Nov 2025, 1:00 PM
Paras air Sungai Bernam kekal bahaya, pasukan penyelamat terus siap siaga
Paras air Sungai Bernam kekal bahaya, pasukan penyelamat terus siap siaga
Paras air Sungai Bernam kekal bahaya, pasukan penyelamat terus siap siaga

SHAH ALAM, 26 NOV: Paras air Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor kekal pada tahap bahaya, sekali gus menyebabkan pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan terus berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor (Khidmat Pengurusan), Muhamad Shaharudin Osmin berkata keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Alah Batu berada dalam keadaan baik dengan pemantauan rapi pihak kesihatan.

“Selain itu, air juga mula naik sehingga paras buku lali di Taman Sri Kledang melibatkan tiga keluarga. Mereka memilih untuk berlindung di surau berdekatan dan tiada PPS baharu dibuka setakat ini.

“Bagi persediaan awal, pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kledang juga telah diminta bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan yang memerlukan pembukaan PPS,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Muhamad Shaharudin menambah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor akan menyalurkan keperluan asas kepada keluarga terlibat di surau berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Mohamad Saufee Akmal Hasbullah memaklumkan situasi di PPS terkawal dan setiap mangsa menerima pemantauan kesihatan yang sewajarnya.

Menurutnya, beberapa mangsa sudah mula pulang ke rumah masing-masing bagi tujuan pembersihan selepas air surut di beberapa kawasan.

“Namun, mengikut trend sebelum ini, PPS yang dibuka di SK Parit Mahang pada 25 November itu kebiasaannya mengambil masa lebih lama untuk ditutup kerana kawasan berkenaan rendah dan air cenderung bertakung,” jelasnya.

Berdasarkan kemas kini Infobencana JKM setakat jam 6.58 petang tadi, PPS SK Desa Aman di Kuala Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 914 mangsa, diikuti PPS SK Parit Mahang (736 mangsa) manakala 16 mangsa lagi ditempatkan di Balai Raya Kampung Alah Batu.