ad

Bangkai ikan lumba-lumba terdampar di Sungai Besar, punca kematian dalam siasatan

26 Nov 2025, 9:08 AM
Bangkai ikan lumba-lumba terdampar di Sungai Besar, punca kematian dalam siasatan

SHAH ALAM, 26 NOV: Penemuan bangkai seekor ikan lumba-lumba yang terdampar berhampiran sebuah resort di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, semalam mencetuskan kegemparan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar, mamalia itu dikenal pasti dari spesies Indo-Pacific Bottlenose Dolphin (Tursiops aduncus).

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Selangor menerima laporan mengenai kejadian itu melalui aplikasi WhatsApp sebelum menghantar pasukan ke lokasi.

"Sepasukan pegawai dan kakitangan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Selangor segera ke lokasi kejadian.

"Hasil pemerhatian serta semakan mendapati bangkai terbabit berukuran panjang 221 sentimeter dan anggaran berat 120 kilogram," katanya seperti dilapor BH.

Noraisyah menjelaskan pihaknya dengan bantuan penduduk telah mengambil data lengkap mengikut garis panduan Jabatan Perikanan Malaysia, termasuk sampel gigi dan kulit untuk analisis DNA.

"Data-data berkaitan kejadian direkodkan sebagai sebahagian daripada pemantauan kes ikan lumba-lumba terdampar bagi Selangor.

"Bangkai mamalia itu kemudian ditanam berhampiran kawasan berkenaan," ujarnya.

Beliau menambah, pelbagai faktor boleh menyebabkan kematian ikan lumba-lumba termasuk dibawa arus, tersesat, tersangkut jaring atau pukat haram, serta pelanggaran dengan kapal.

"Pada masa sama, faktor alam seperti ribut dan air pasang besar juga boleh menjadi penyebab kematian ikan itu.

"Kami minta dan alu-alukan kerjasama semua pihak supaya dapat melaporkan sebarang kejadian kematian mamalia marin yang dikesan di perairan Selangor supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya.