ad

Mangsa bah sekitar Shah Alam mula pulang ke rumah, MBSA kekal siap siaga

26 Nov 2025, 9:00 AM
Mangsa bah sekitar Shah Alam mula pulang ke rumah, MBSA kekal siap siaga

SHAH ALAM, 26 NOV: Majoriti mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Shah Alam kini dibenarkan pulang susulan keadaan cuaca semakin baik.

Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata pihaknya kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi sekiranya banjir kembali melanda.

“Pasukan tindakan kecemasan PANTAS berada dalam mod siap siaga penuh dengan pemantauan serta rondaan 24 jam, terutama di kawasan berisiko.

"Walaupun PPS ditutup secara berperingkat selepas mangsa pulang, kami sentiasa bersedia mengaktifkannya semula jika berlaku bencana.

"Kita juga memastikan setiap dewan berada dalam keadaan terbaik dari segi kebersihan, bekalan elektrik dan kemudahan lain, termasuk menambah tandas bergerak jika perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita anjuran MBSA di Pusat Konvensyen MBSA hari ini.

Shahrin memaklumkan MBSA sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, KDEB Waste Management serta Pejabat Tanah dan Daerah bagi memastikan persekitaran sentiasa terurus.

Beliau turut menasihatkan penduduk, terutama di kawasan rendah, supaya peka terhadap ramalan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.