ad

FAM tolak rayuan Selangor FC, hukuman stadium kosong dan denda kekal

26 Nov 2025, 8:17 AM
FAM tolak rayuan Selangor FC, hukuman stadium kosong dan denda kekal

SHAH ALAM, 26 NOV: Selangor FC (SFC) gagal dalam rayuan terhadap hukuman yang dikenakan berhubung kelakuan penyokong serta kegagalan mematuhi obligasi penganjuran pada suku akhir kedua Piala FA 2025-2026 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 29 Oktober lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan Jawatankuasa Rayuan dalam mesyuarat khas pertama bagi penggal 2025-2029 mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini

Keputusan itu bermakna SFC perlu beraksi tanpa penonton bagi dua perlawanan di gelanggang sendiri dalam saingan Piala FA iaitu separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 30 November ini dan perlawanan pertama musim depan, selain denda RM100,000.

"Rayuan Selangor FC terhadap hukuman yang dikenakan selepas didapati bersalah berhubung kes membabitkan kelakukan penyokong mereka dan kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2025-2026.

"Hukuman bermain tanpa penonton (beraksi di stadium kosong) untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA, iaitu perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2025-2026, Selangor FC lwn Sabah FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad, 30 November 2025.

"Perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya, serta denda sebanyak RM100,000 yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Jumaat, 14 November adalah dikekalkan," katanya.

Sebelum ini, SFC dikenakan hukuman sama oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM susulan insiden ketika aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ pada 29 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Selangor berdepan lima pertuduhan dan didapati bersalah melanggar Artikel 70 (Perenggan 1 dan 3) bagi empat pertuduhan pertama, serta Artikel 68 yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan kelima.