SHAH ALAM, 26 NOV: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap mana-mana individu termasuk wartawan yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan negara.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan pihaknya memandang serius laporan mengenai insiden membabitkan wartawan sukan, Haresh Deol yang didakwa diserang oleh dua lelaki di Bangsar, semalam, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, badan induk itu berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan keadilan ditegakkan.
"FAM juga ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan tidak mencerminkan semangat kesukanan serta nilai integriti yang diperjuangkan oleh badan induk ini.
"Pada masa sama, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan pengamal media serta memastikan ruang yang selamat, profesional dan saling menghormati diwujudkan antara semua pihak yang terbabit dalam industri sukan negara.
"FAM mendoakan Haresh Deol berada dalam keadaan baik dan terus diberikan kekuatan selepas insiden yang tidak diingini ini," kata Mohd Yusoff.
Semalam, arena sukan negara dikejutkan dengan berita Haresh diserang dua lelaki bermotosikal dalam satu kejadian di kawasan parkir di Bangsar dan dia turut dilaporkan mengalami kecederaan.
Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dalam kenyataan, semalam turut mengecam serangan itu dan Presiden SAM, Ismadi Abdul Manap menuntut siasatan dilakukan dengan segera.
"Serangan ke atas mana-mana wartawan adalah satu tindakan ekstrem yang tidak boleh dibiarkan, SAM tidak mahu ahli-ahli SAM bekerja dalam ketakutan dan trauma berikutan serangan seumpama ini," kata Ismadi.




