ad

PM terima peletakan jawatan Shamsul Iskandar

26 Nov 2025, 3:52 AM
PM terima peletakan jawatan Shamsul Iskandar

SHAH ALAM, 26 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan merakamkan penghargaan atas khidmat yang telah diberikan.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi ruang penuh untuk menjalankan siasatan berhubung tuduhan yang timbul, tanpa sebarang campur tangan.

"Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar," jelasnya.

Beliau turut menekankan komitmen Kerajaan Madani terhadap prinsip ketelusan dan integriti, serta memastikan semua proses siasatan dilakukan mengikut lunas undang-undang.

"Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," ujarnya.

Semalam, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar.

Beliau turut mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi serta merosakkan imej kerajaan Madani.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada 23 Disember 2022.