ad

Pascabanjir: KDEBWM sedia gerak 3,000 pekerja bantu bersih kawasan terjejas

26 Nov 2025, 3:57 AM
Pascabanjir: KDEBWM sedia gerak 3,000 pekerja bantu bersih kawasan terjejas
Pascabanjir: KDEBWM sedia gerak 3,000 pekerja bantu bersih kawasan terjejas

SHAH ALAM, 26 NOV: Kira-kira 3,000 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) bersedia digerak untuk membantu mangsa banjir membersihkan kediaman.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata kerja pembersihan pascabanjir akan terus dilaksanakan sebaik sahaja semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

“Apa saja barangan rosak dan tidak boleh dipakai lagi, letakkan sahaja di luar rumah. Pasukan KDEBWM akan bergerak dan kutip semuanya dan hantar ke tempat pelupusan.

“KDEBWM jamin apa saja barangan yang dikeluarkan mangsa banjir ini kita akan kutip. Semua kerja akan dibuat sebaik mungkin dan diselesai secepat mungkin untuk memudahkan mangsa,” katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato Ramli Tahir bercakap kepada media ketika di wawancara Media Selangor di Ibu Pejabat KDEB Waste Management, Shah Alam pada 22 Mei 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Ramli berkata kesiapsiagaan sudah dibuat seawal mungkin sebagai persediaan mendepani Monsun Timur Laut termasuk perubahan jadual kutipan sampah dan penyelenggaraan aset.

“KDEBWM suda jangka hujan bermula selepas Oktober. Jadj kita buat rombakan jadual dengan tumpu kepada kawasan yang berisiko supaya dapat pastikan sistem saliran lancar.

“Kalau lori kurang, kita akan tarik dari kawasan kurang berisiko. Cuti kakitangan juga dibekukan sementara supaya proses perkhidmatan KDEBWM lancar,” katanya.

Setakat semalam, 23 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah di Selangor, berikutan situasi banjir yang masih berlarutan.

Kuala Selangor mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan sembilan PPS membabitkan 1,741 mangsa, diikuti Klang dengan empat PPS, Shah Alam dan Sabak Bernam (3 PPS), Hulu Langat (2 PPS), manakala Hulu Bernam dan Sepang masing-masing satu PPS.

Kerajaan Negeri sebelum ini sudah mengarahkan semua agensi terlibat agar bersedia sepenuhnya menghadapi Monsun Timur Laut termasuk dari segi logistik dan bantuan kecemasan.

Pihak berkuasa juga menasihatkan orang awam agar sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi.