ad

Kepala air: Ancaman senyap di kawasan rekreasi, peka ketika riadah

26 Nov 2025, 3:01 AM
Kepala air: Ancaman senyap di kawasan rekreasi, peka ketika riadah
Kepala air: Ancaman senyap di kawasan rekreasi, peka ketika riadah
Kepala air: Ancaman senyap di kawasan rekreasi, peka ketika riadah
Kepala air: Ancaman senyap di kawasan rekreasi, peka ketika riadah
Kepala air: Ancaman senyap di kawasan rekreasi, peka ketika riadah

SHAH ALAM 26 NOV: Fenomena kepala air adalah ancaman alam yang sukar dijangka dan ia boleh menjadi igauan ngeri di kawasan rekreasi seperti air terjun dan sungai.

Dalam sekelip mata, kejadian kepala air ini boleh mengorbankan nyawa apabila aliran deras turut membawa bersama lumpur, kayu balak, batu besar dan sisa lain.

Biasanya kepala air berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai yang tidak disedari pengunjung di bahagian hilir.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pengetahuan mengenai tanda awal dan langkah keselamatan boleh menjadi perisai untuk mengelak tragedi kepala air.

Beliau berkata, sebelum mengunjungi kawasan rekreasi untuk beriadah persediaan sangat penting termasuk sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati.

“Ramai suka ‘healing’ cari ketenangan dalam hutan, mandi-manda di jeram. Kita kena tahu risiko seperti air boleh jadi deras tiba-tiba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar

"Jika tetap mahu memasuki kawasan rekreasi, pastikan ada ilmu asas keselamatan, peralatan mencukupi serta sentiasa memantau keadaan sungai. Air yang tiba-tiba keruh dan deras adalah tanda awal bahaya kepala air,” katanya ketika hadir ke program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Mengulas lanjut beliau berkata, persediaan dari segi diri, ilmu dan peralatan sangat penting dalam memastikan aktivit dilakukan itu tidak bertukar tragedi.

"Sebagai contoh, jika mendaki gunung apabila hujan dan tidak boleh turun, barangan dibawa perlu mencukupi dan cari tempat selamat.

"Begitu juga ketika mandi sungai, apabila nampak air keruh, tinggalkan lokasi, yang penting kena sentiasa berhati-hati dan tahu apabila sesuatu akan berlaku," katanya.

Kepala air boleh dikesan lebih awal jika pengunjung peka terhadap perubahan sekeliling.

Antara tanda utama yang dikenal pasti termasuk perubahan mendadak warna air daripada jernih kepada keruh, kehadiran buih putih atau serpihan kayu dan daun yang hanyut dalam jumlah banyak, selain bunyi deruan air kuat dari arah hulu.

Sekiranya fenomena ini berlaku, ia menandakan kepala air sedang bergerak turun, dan langkah segera meninggalkan kawasan perlu diambil bagi mengelak tragedi.

Pengarang Berita Media Selangor Tramizi Hussin bersama Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor pada 21 November 2025. Foto Media Selangor

Tip keselamatan kepala air

  • Elakkan beriadah di kawasan sungai ketika hujan atau cuaca mendung.

  • Tinggalkan kawasan rekreasi segera jika paras air meningkat, bertukar keruh atau bunyi arus tiba-tiba bertambah kuat.

  • Jangan mandi atau berkhemah terlalu hampir dengan tebing sungai kerana ia mudah terhakis.

  • Sentiasa awasi kanak-kanak serta elakkan aktiviti mandi seorang diri.

  • Hubungi talian kecemasan 999 jika berlaku sebarang insiden atau tanda bahaya.

Kronologi kes kepala air di Selangor pada 2025

  • 11 Mei 2025 - Hulu Langat: 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap dalam kejadian kepala air ketika sedang beriadah di Sungai Lepoh, di sini.

  • 11 Mei 2025 - Gombak: Seorang lelaki patah kaki, enam lagi selamat dalam kejadian kepala air di Jalan Gombak Lama, Batu 12 di sini. Mangsa empat lelaki, tiga perempuan berusia 15 hingga 31 tahun itu beriadah apabila berlaku kepala air yang menyebabkan empat daripada mereka dihanyutkan arus dan tiga terperangkap.

  • 4 Sept 2025 - Kuala Kubu Baru: 22 individu termasuk 12 anggota polis yang terperangkap di seberang sungai susulan fenomena kepala air di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, berjaya diselamatkan.

  • 15 Sept 2025 - Kuala Kubu Baru: Kira-kira 400 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap susulan kejadian kepala air di tapak perkhemahan Ali River Campsite, Kuala Kubu Baharu. Semua mangsa berjaya diselamatkan pihak bomba.

  • 21 Nov 2025 - Shah Alam: Mayat pekerja lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada 17 November ditemui di kawasan Kampung Sungai Kandis di sini. Sebelum itu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero milik mangsa dijumpai kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian pada 19 November.

    Kawasan berisiko di Selangor

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti beberapa kawasan rekreasi di Selangor sebagai lokasi berisiko tinggi kepala air dan lemas. Antara hotspot utama di Hulu Selangor ialah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak, yang merekodkan insiden lemas paling tinggi di negeri ini.

    Selain itu, terdapat lapan lokasi lain dipantau termasuk Latar Medang, Sungai Inki Kalumpang, River View Sungai Bernam, Sungai Sendat, Sungai Tua (Ulu Yam), Sungai Kedondong, Sungai Cilin (Kuala Kubu Bharu) serta beberapa kawasan sekitar Gombak, Rawang, Bestari Jaya, Sepang, Dengkil dan Batu 18 Hulu Langat.